Gaji Besar, Akhlak Kecil.
9 Mei 2025,
Kering tekak kerana terlalu banyak menggunakan suara mendorong aku untuk memberikan rehat kepada adik-adik pelajar. Sejujurnya, aku bukanlah yang terbaik dalam memberikan panduan untuk kumpulan bicara berirama, tetapi kerana kepercayaan dalam setugas Ummi untuk membimbing kumpulan wakil sekolah untuk pertandingan bicara berirama, aku hadir dalam memberikan sedikit panduan buat mereka. Mereka merupakan pelajar tingkatan 4 dan seorang pelajar tingkatan 5 yang baik, sangat bersemangat dan ceria. Aku merehatkan mereka selepas bertungkus lumus berlatih selama 2 jam ; masing masing berlari untuk mendapatkan air yang dibekalkan.
Aku keluar untuk mengambil angin sekaligus membeli air untuk membasahkan tekak. Sambil aku berjalan di sebelah dewan, suara riuh menyebabkan aku berhenti. Aku bingung, bukankah mesyuarat PIBG sedang berlangsung? Takkanlah mesyuarat PIBG riuh seperti hari sukan sekolah? Ibu bapa bertepuk tangan sambil bersiul siul, sementara sekumpulan ibu bapa keluar dari dewan. Aku memilih untuk tidak mengambil hal dan kembali menjalankan amanah yang telah diberikan oleh rakan Ummi.
Habisnya latihan, aku mengambil kereta dan menunggu Ummi untuk pulang. Kebetulan, hari ini hari Jumaat, maka ibu bapa berduyun duyun mengambil anak pulang dari asrama seusai mesyuarat. Ummi menghantar pesanan melalui aplikasi WhatsApp untuk mengambil barang, dengan segera enjin dimatikan.
Suasana bilik guru tidak pernah berubah, seperti mana ingatan aku 10 tahun lepas. Riuh-rendah dengan kegiatan guru guru bersedia untuk pulang sambil bercerita tentang hal yang baru berlaku di mesyuarat. Masing masing bermuka ketat dan meluahkan resah di hati. Aku hanya mendiamkan diri sambil mengangkat kertas kertas peperiksaan untuk ditanda.
Cerita Ummi, mesyuarat pada tahun ini merupakan merupakan mesyuarat yang paling biadap Ummi pernah lalui sepanjang Ummi bergelar seorang guru. Belum selesai pengerusi mesyuarat membacakan usul dan minit untuk dibincangkan, bangkit seorang ibu dari kalangan ibubapa menghampiri mikrofon, dan mempertikaikan mengapa pembubaran AJK sesi lepas belum diadakan. Pengerusi mesyuarat, selaku Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran yang menggantikan posisi pengetua yang sudah bersara, cuba untuk menenangkan ibu tersebut dan meminta ibu tersebut untuk mempertimbangkan keadaan dimana usul itu perlu dibentangkan kepada semua ahli mesyuarat.
Ibu tersebut menolak dan memberikan alasan bahawa anak-anak kepada AJK sesi lepas telah menamatkan sesi persekolahan, jadi tiada sebab untuk mereka kekal di mesyuarat. Ibu bapa yang berada di khalayak bersorak sebagai tanda setuju, menyebabkan guru guru terpana. Perangai sebegini ditunjukkan oleh ibu bapa di sebuah mesyuarat? Belum pernah dibuat orang. Disebabkan desakan yang terlalu besar, pengerusi mesyuarat terpaksa menjalankan pembubaran AJK sesi lepas terlebih dahulu. Belum sempat mereka berdiri meninggalkan dewan, tepukan gemuruh penuh makna tersirat bergema. Sorakan, siulan, dan tepukan mengiringi AJK sesi lepas dan Yang di-Pertua PIBG yang banyak berbakti keluar dari dewan.
Bukan sahaja mereka menabur jasa, namun komitmen mereka untuk meningkatkan mutu pembelajaran pelajar seolah-olah tidak dihargai oleh para ibu bapa yang bersorak riang atas pembubaran mereka. Menurut Ummi, sepatutnya, terdapat 41 usul yang sepatutnya dibincangkan namun semuanya tidak endahkan. Sebaliknya, mereka terlalu sibuk mengusulkan program-program yang tidak pernah dibincangkan bersama pihak sekolah. Tuisyen berbayar, bengkel bersama ahli akademik yang entah tahu atau tidak tentang format sedia ada yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, dan 1001 lawatan, majlis makan malam dan santapan minum teh yang terlalu banyak. Semasa pelantikan AJK sesi baharu, terbuka sifat sifat sekumpulan ibu bapa yang terlalu dahagakan jawatan. Berebut rebut memberi nama dan meraih undi. Jawatankuasa baharu terbentuk, dan hanya tuhan sahaja yang tahu isi hati guru-guru.
Mereka berkata kata seolah olah bodohnya guru guru ini dalam mendidik, menghiraukan penat lelah guru guru yang selama ini bertungkus lumus mengisi ilmu di dada para pelajar. Mempersoalkan kaedah dan program yang selama ini membantu murid dalam pemahaman mereka dalam subjek yang dipelajari. Guru guru di sekolah Ummi bukannya guru yang bodoh sepertimana di andaikan oleh para ibu bapa. Daripada mereka, barisan penanda kertas SPM dengan bertahun-tahun pengalaman, penggubal soalan yang tidak pernah berputus asa dalam membantu murid, guru guru pakar yang sering mendapat jemputan untuk memberikan tips mengikut ketetapan dan format yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Pejabat Pendidikan Daerah. Mahupun di peringkat menengah, begitu banyak format, peraturan dan prosedur yang perlu dihafal dan dikuasai oleh guru guru untuk mendidik dan memberikan jalan yang terbaik buat setiap pelajar.
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, sebagaimana angkuhnya ibu bapa mereka, begitulah yang berlaku kepada anak anak mereka. Profesion guru ini dianggap senang dan ringkas sedangkan pada hari ini, berjuta dugaan yang dialami oleh para pendidik untuk membakar lilin ilmu di dalam jiwa pelajar. Apabila ibu bapa memperlekehkan guru guru di rumah, itulah pemikiran yang dibawa oleh anak anak ke sekolah. Kerana inilah kes kes murid biadap dengan guru, keruntuhan akhlak remaja kepada yang lebih tua meningkat dengan drastik. Hilangnya hormat kepada pendidik, tiada orang lain yang boleh disalahkan selain ibu bapa. Tatkala mereka menunding jari kepada generasi kini kerana kononnya tidak beradab, menunding jari kepada guru yang kononnya menunjukkan contoh yang tidak baik kepada pelajar, mereka alpa kepada lagi 4 jari yang dihalakan kembali kepada mereka, yang menunjukkan mengapa hilangnya hormat generasi kini kepada mereka yang lebih tua, hilangnya adab kerana cerminan ibu bapa di dalam diri anak-anak. Aku hanya mampu merenung nasib guru guru yang terpaksa menanggung beban dan tekanan yang mereka alami dari pelbagai pihak.
Begitulah realiti yang berlaku dalam dunia pendidikan pada hari ini. Biarpun setinggi mana pangkat yang dipegang ibu bapa, sehebat mana pekerjaan mereka dan sebanyak mana gaji mereka, hilangnya kebijaksanaan mereka apabila hilangnya adab dan akhlak mereka, lebih lebih lagi kepada guru-guru yang mencurahkan ilmu kepada anak mereka. Aku sendiri pernah menerima layanan yang tidak sepatutnya oleh bekas guruku, namun mereka tetap menyumbangkan ilmu kepada para pelajar, dan fakta ini tidak boleh dihapuskan walau sedahsyat manapun perkara yang dilakukan oleh mereka. Salah tetap salah, namun hormat dan adab masih perlu hadir di dalam diri. Ummi tidak pernah menyerang, memperlekehkan dan mempersoalkan cara pengajaran guru-guruku. Walaupun suatu ketika dahulu, aku pernah mengalami situasi berat sebelah, namun Ummi sentiasa mengucapkan terima kasih buat mereka yang mendidik, kerana Ummi sendiri pun tahu bertapa peritnya proses dalam mendidik.
Renungan buat aku dan pembaca.
Comments
Post a Comment