MatLuthfi : Bila Humor, Pedas dan Jujur Bertemu
Ada satu perkara yang aku perasan bila baca tulisan atau dengar skrip video Matluthfi. Aku rasa macam kena tegur, tapi dengan cara yang paling berhemah dan kelakar. Dia tak perlu marah, tak perlu maki, tapi lepas baca satu perenggan dia, aku terdiam. Bukan sebab aku tak faham, tapi sebab aku baru tersedar. Tersedar yang aku, kita semua, kadang-kadang buat benda yang dia sedang tulis tu. Itulah kekuatan tulisan Matluthfi: ringan tapi dalam, bersahaja tapi berbisa.
Dia tidak menulis dengan bahasa sastera tinggi yang memerlukan kita buka kamus. Bahasa yang dia guna dekat, jujur, dan bercampur-campur ; Melayu baku, Bahasa pasar, slang internet, sesekali selit Bahasa Inggeris, tapi tak kekok. Malah, ia menjadikan setiap tulisan terasa macam kita sedang lepak tengah malam berkongsi cerita di mamak, dan dia sedang bercerita depan kita sambil ketawa kecil. Bahasa dia santai, tapi tetap hormat pada isi. Kita baca, kita senyum, dan dalam diam, kita terfikir.
Salah satu ciri yang paling jelas dalam penulisan Matluthfi ialah kebijaksanaan dia bermain dengan analogi dan contoh yang pelik-pelik, tapi masuk akal. Dia takkan terus terang kata "jangan riak", sebaliknya dia akan bawa cerita pasal orang post gambar buat kebajikan dengan sepuluh hashtag, dan akhirnya kita faham maksud sebenar. Dia suka kaitkan benda berat dengan perkara seharian ; parking double line, ambil selfie banyak kali, repost quotes motivasi. Semua itu bukan sekadar bahan lawak, tapi jendela kepada isu yang lebih besar.
Dalam masa yang sama, dia pakar dalam selitkan humor yang cukup untuk buat kita ketawa sendiri, tapi bukan ketawa kosong. Jenaka dia bukan jenis gelak guling-guling, tapi jenis yang buat kita rasa “aduh, kenalah tu dengan aku”. Dan mungkin itulah kekuatan dia: menjadikan hal-hal yang menyentuh jiwa terasa ringan untuk diterima. Dia menulis macam kita dah kenal dia lama. Dan bila dia bergurau, kita tak rasa diperlekeh. Kita rasa ditegur. Tapi dengan cara yang tak menyakitkan hati.
Matluthfi juga terkenal dengan kejujuran dalam penulisannya. Dia bukan jenis yang berpura-pura ada semua jawapan. Dia boleh mengaku dia pun pernah penat, pernah hilang arah, pernah susah nak jaga iman. Tapi dalam semua itu, dia tetap tulis dengan harapan. Dia tidak menulis untuk meraih simpati. Dia menulis untuk kita rasa, “aku tak bersendirian.” Dan dia tahu, kadang-kadang, ayat paling pendek pun boleh jadi paling menyentuh. Dia pandai tangkap momen perasaan yang kita sendiri tak reti nak namakan.
Selain itu, gaya dia menyampaikan mesej sosial, agama dan isu masyarakat sangat berhati-hati tapi tetap tegas. Dia tak menjerit, tak memaksa. Tapi dia ajak berfikir. Dia tak panggil kita “pendosa” atau “malaikat”, tapi dia cerminkan pada kita sisi yang kita kadang-kadang lupa tengok. Dan itulah yang buat tulisannya melekat. Kadang-kadang, selepas habis baca, kita rasa macam baru lepas sesi kaunseling yang tak formal.
Kesimpulannya, gaya penulisan Matluthfi ialah satu gabungan unik antara lawak dan logik, sinis dan sopan, ringan dan bermakna. Dia berjaya menulis dengan cara yang buat kita selesa, tapi tak selesa sangat sampai tak terasa. Dia tulis untuk difahami, bukan untuk dipuji. Dan mungkin sebab itulah, dalam dunia hari ini yang penuh dengan kata-kata ‘cantik tapi kosong’, tulisan dia terasa jujur dan jujur itu, dalam bentuk apa pun, tetap akan tembus ke hati.
Comments
Post a Comment