Assalamualaikum, BBK3410!
21 Mac 2024,
Tarikh keramat di mana saya menghela nafas, dan memasukkan pautan ke dalam layar Google Meet yang sedia menanti. Sejurus butang 'Enter' ditekan, kotak-kotak kecil yang menunjukkan rakan rakan seperjuangan saya muncul di layar skrin. Riang rasa dapat bertemu kembali walaupun sekadar di alam maya bersama sahabat seperjuangan yang sama-sama menuntut ilmu di UPM. Langkah pertama saya dalam subjek ini bermula di sini.
Sejujurnya, saya tidak menyangka bahawa subjek BBK3410 Penglahiran Bakat Kreatif akan berpaksikan kepada penulisan kreatif dalam Bahasa Melayu, terutamanya apabila sudah 2 tahun saya tidak bergiat secara aktif dalam penulisan kreatif atau penulisan formal dalam Bahasa Melayu dek kerana mengejar cita-cita di peringkat Asasi di UiTM Dengkil dalam jurusan Asasi TESL dan semester pertama di peringkat Ijazah di UPM Serdang dalam jurusan Linguistik Inggeris. Meskipun saya bertutur dalam Bahasa Ibunda bersama keluarga dan rakan sahaya, membaca karya penulis tempatan, namun saya khawatir atas kemampuan penulisan yang telah lama saya tinggalkan.
Adik saya, Irdina Aisyah, pelajar lepasan SPM yang masih menanti keputusan, duduk di sebelah dan mencuri-curi dengar pengenalan yang diberikan oleh Prof. Kamariah. Aisyah masih lagi tertawa kecil apabila melihat reaksi terkejut saya apabila dipilih sebagai Ketua Kelas bagi subjek ini. Bukan tidak mahu, namun tanggungjawab yang bakal digalas menghantui pemikiran saya. Aisyah menenangkan dan memberi kata-kata semangat bahawa saya dapat menjalankan tugas ini. Percaya dengan kata-kata Aisyah, saya menerima jawatan ini dengan minda yang terbuka untuk belajar dengan lebih banyak disamping mengambil peluang untuk mengenali rakan-rakan sekelas saya dengan lebih rapat.
Meskipun takut dan gentar memenuhi ruang untuk menyesakkan dada, terlintas satu ungkapan melayu, 'Tak Kenal Maka Tak Cinta'. Seharusnya, pendekatan inilah yang saya patut ambil ketika mengenali subjek subjek yang bakal saya pelajari bagi semester kedua ini. Ya, masih banyak yang saya perlu pelajari dan amati sepanjang perjuangan saya dalam subjek ini. Saya akan sedaya upaya mencuba untuk mengejar nilai mata tertinggi, A dalam tangan! Insya-Allah.
Comments
Post a Comment