Letih Tapi Diam: Normalisasi 'Burnout' di Kampus

 

6 Mei 2025,

Laptop di hadapanku sudah beberapa kali terpadam sendiri. Skrinnya gelap seperti semangat aku yang makin pudar. Aku biarkan saja, terlalu penat untuk marah, terlalu letih untuk peduli. Kertas assignment penuh di hujung meja, 'Running Order' yang dikepilkan di tepi dengan peringatan tentang program-program yang perlu dijalankan, list kerja yang ditampal di dinding penuh dengan nota berwarna. Bukan untuk cantik, tapi untuk ingat tarikh akhir penghantaran kerja, bila ada pembentangan, bila komitmen menghimpit.

Di luar bilik, riuh rendah suara pelajar lain yang baru pulang dari aktiviti. Aku termenung memandang kipas siling yang berpusing perlahan, mencari makna dalam putarannya. Mungkin seperti hidupku sekarang ; bergerak, tapi ke mana?

'Burnout'. Dah lama aku rasa. Tapi aku diam.

Sebagai pelajar universiti, terutamanya yang aktif dalam kelab dan memegang jawatan, 'burnout' seakan satu perkara yang dijangka. Bila kita letih, mereka kata itu biasa. Bila kita rasa serabut, mereka kata, “Itu tandanya kau buat kerja.” Bila kita cuba berehat, mula ada suara sinis yang berbunyi, “Kenapa dia tak turun rehearsal?” atau “Terpaling penat buat program. Siapa suruh ikut banyak-banyak?” Maka kita terus hidup dalam kepenatan yang dimuliakan.

Semalam aku tertidur dengan pakaian kelas masih di badan, bangun keesokan harinya dengan mesej bertalu-talu masuk. Satu untuk reminder kuiz. Satu untuk mesyuarat program. Dua lagi dari ahli kumpulan yang tanya tentang draf tugasan. Tiada ucapan ‘hai’, tiada ‘kau okay ke?’. Semua orang sibuk. Semua orang kejar masa. Semua orang terbakar, tapi buat-buat tak rasa panas.

Aku teringat satu perbualan dengan Iman, rakan seperjuagan merangkap rakan sebilik. Katanya, “Kau pernah rasa masa selalu mengejar kita, atau kita yang dikejar dunia” Aku hanya mampu angguk. Kami senyap lama malam tu. Tak tahu nak salahkan siapa. Sistem? Diri sendiri? Harapan orang lain? Pensyarah? Felo? Atau dunia yang terlalu cepat dan terlalu kejam dengan kita yang baru belajar mengenal diri?

Kami pelajar, tapi kadang-kadang dilayan macam robot. Hari penuh kuliah, malam penuh mesyuarat. Kelas ganti, latihan, tugasan bertindan, pembentangan, laporan. Belum masuk event hujung minggu yang wajib datang sebab pegang jawatan. Kalau tak hadir, dianggap tak komited. Kalau penat, dianggap mengada-ngada.

Kita dibius oleh pujian kosong, “Hebatnya kau ni, semua benda kau buat.” Tapi hakikatnya, jiwa kita koyak perlahan. Kita takut mengecewakan orang, jadi kita biarkan diri sendiri kecewa. Kita takut nampak lemah, jadi kita diam. Masyarakat normalisasikan 'burnout', seolah-olah ia tiket masuk ke dunia kejayaan. Mengejar dunia tanpa henti dan memandang pesong mereka yang selama ini kehadapan, kini penat mengejar merit. 

Aku menulis ini bukan untuk merungut, tapi untuk menyedarkan diri. Mungkin sesiapa yang membaca dapat memahami bahawa keletihan ini bukan satu penghormatan. Kita tidak sepatutnya bangga kerana tak cukup tidur. Kita tidak sepatutnya rasa bersalah kerana ingin berehat. Kita tidak sepatutnya berbangga dengan “aku tak sempat makan sejak pagi” seolah-olah itu lambang kejayaan.

'Burnout' bukan trofi.

Aku harap, satu hari nanti, kita belajar untuk jujur tentang penat. Belajar untuk minta tolong. Belajar untuk kata tidak. Belajar untuk memilih kesihatan jiwa berbanding pengiktirafan yang sementara.

Untuk kau yang sedang melawan keletihan yang tidak orang nampak, aku faham. Moga ada satu ruang kecil dalam harimu yang membolehkan kau tarik nafas panjang dan berkata, “Aku cukup.” Bukan kerana kau lemah, tapi kerana kau manusia.

Renungan buat aku dan pembaca.

Comments

Popular Posts