J.M Aziz di mata Ummi


 Menelusuri jalan-jalan di 'Miami Beach Malaysia' di Seberang Takir, Ayah memulakan misi untuk 'menanam' Ilham di dalam pasir, atas nasihat yang diberikan oleh Wan sebagai inisiatif untuk merawat sakit saraf. Kata Wan, garam yang berada di dalam pasir tersebut boleh mengaktifkan dan merawat saraf-saraf yang terjejas. Ikhtiar untuk membantu Ilham, apa salahnya cuba. 


Sambil menjamah remis rebus, Ummi membuka cerita tentang zaman persekolahan di mana Ummi melakukan Kajian Tindakan. Kata Ummi, sebelum pembangunan secara besar-besaran dilakukan, Terengganu sebenarnya kaya dalam pembuatan kraftangan seperti Tembikar, Batik, pembuatan barang kemas menggunakan emas yang dibuat terus di bawah rumah. Sayang seribu kali sayang, pembangunan pesat yang dilakukan di kota Kuala Terengganu sekaligus mempupuskan budaya Kraftangan Melayu yang bergerak aktif pada ketika itu, Ummi membuka cerita tentang J.M Aziz, pemuisi terunggul Terengganu.


Kata Ummi, semasa Ummi melakukan Kajian Tindakan tentang J.M Aziz, Ummi datang sendiri bertandang bersama ahli kumpulan ke rumah J.M Aziz. Berbekalkan perakam kaset, buku dan alat tulis, Ummi bertemu dengan J.M Aziz. Ahli keluarga J.M Aziz yang sudah biasa dengan rutin dimana orang akan bertandang ke rumah, seakan-akan tidak kisah dengan kehadiran tetamu. Setelah dijemput duduk oleh isterinya, Ummi dan ahli kumpulan duduk di atas lantai sambil mendengar dendangan puisi. 


Orangnya sangat sederhana, sekadar memakai kain pelikat dan beralaskan tuala kecil 'Good Morning' di tangannya yang sudah kudung akibat penyakit Kusta yang dialaminya, beliau acap kali mengelap air mata. Entah kerana kondisi kesihatannya yang memang begitu, atau sedang beremosi, Ummi kembali menghayati bait-bait puisi yang disenandungkan. 


Dikenali sebagai 'penyair buta' oleh orang kampung, beliau sangat berjiwa seni dan romantis. Karyanya, 'Nasi Ayam Laut Sepinggan' yang berkisarkan kehidupan golongan nelayan. Setiap hari, mereka turun ke laut untuk menangkap ikan, terutamanya ketika cuaca baik. Mereka biasanya mencari rezeki di kawasan yang dikenal pasti banyak ikan. Hasil tangkapan dibawa pulang ke pelabuhan Kertih, dan sebahagiannya dimasak oleh para isteri untuk hidangan keluarga. Suami isteri menikmati makan bersama dengan penuh kemesraan. Walaupun hidup dalam kesederhanaan, kebahagiaan rumah tangga tetap mewarnai hari-hari mereka.


1965, tahun dimana beliau dikuarantin di Sungai Buloh kerana penyakit Kusta semakin parah, Beliau mengambil makna nama J.M sebagai 'Jiwa Merana'. Beliau kehilangan daya fizikal dan menjadi buta sepenuhnya. Dendangan puisi 'Kesian Dia', 'Sepi itu Indah', dan 'Pengantin Laut', beliau mendendangkan pengalaman yang dilaluinya. Saat pertama kali saya membaca 'Penyu Menangis Siapalah Tahu', terasa sebak kian tumbuh di dalam diri. Beliau suka menulis puisi berlatarkan atau bertemakan laut dan hidup nelayan. Malah ada yang memanggil beliau sebagai penyair laut. Beliau tidak pernah terhasrat dan terbetah untuk menulis sajak tentang kesusahan hidupnya ini kerana beliau pernah berkata menulis puisi tentang dirinya hanya akan membawa lagi kesedihan kepada hidupnya. 


Hasil karyanya diangkat oleh kerajaan negeri Terengganu, dimana beliau dianugerahkan Anugerah Budaya 'Penggiat Kesenian Sezaman' dan gelaran Tokoh Penyair Terengganu oleh Ruang Teater Tamu Terengganu. Puisi beliau iaitu 'Berlabuh dan Berkayuh' dan 'Nasi Ayam Laut Sepinggan' memenangi Hadiah Sastera Malaysia dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. 


Suara Ilham yang memekik kegelian saat pasir ditaburkan ke atas badannya memecah nostalgia. Terdetik perkataan, 'Begitu rupanya, ada penyair yang hebat anak kelahiran Terengganu. Sayangnya tidak ramai anak muda sezaman saya yang mengenali insan ini'. Ummi menghela nafas dan menyudahi ceritanya dengan membuka 'Kesian Dia' nyanyian Sudirman yang ditulis oleh J.M Aziz. 



Kesian Dia

Kasih sayang tiada sempadan

bagai laut dan pantai

nasib malang bercerai badan

bak pasir dibelah badai


Buah hati timbangan badan

tidak dua dan tiga

sudah berjanji berpegang tangan

kiranya terlepas jua


Kesian Dia

Kesian Dia

Kesian Dia

Kesian Dia


Serakit sirih seumbut pinang

selaut kasih sepantai sayang


Kalau boleh pinjamkan selendang

abang rindu harum baunya

merayu pada yang disayang

jika ada sisa kasihnya


Kesian Dia

Kesian Dia

Kesian Dia

Kesian Dia


Biduk sebuah kita bermudik

dibuai tapak gelombang

biduk kekasih itulah adik

tempat abang menumpang sayang


Kesian Dia

Kesian Dia

Kesian Dia

Kesian Dia


Serakit sirih seumbut pinang

selaut kasih sepantai sayang


Ombak kasih datang bertandang

pantai sayang menanti

namun abang tetap mengenang

sendiri kehilangan hati


Kesian Dia

Kesian Dia

Kesian Dia

Kesian Dia


Serakit sirih seumbut pinang


selaut kasih sepantai sayang




Al-Fatihah dibaca kepada Abdul Aziz, J.M Aziz, Indra Mesra, Abdul Rahman, Azizah Rahman dan Jiwa Merana.

Comments

Popular Posts