Takbir Raya di Malaysia

 


31 Mac 2025, 

Aku duduk di dalam saf saf yang disediakan di masjid. Takbir raya bergema menimbulkan rasa sayu di dalam hati, mengenangkan wajah wajah mereka yang telah pergi terlebih dahulu. Seketika aku terdetik, Aidilfitri disimbolkan sebagai hari kemenangan buat umat islam, namun kenapa perasaan sayu ini timbul?

Kembali ke masa lampau, di mana Tanah Melayu dijajah habis-habisan, perajurit melayu bermati-matian berjuang demi kelangsungan anak bangsa di tanah air yang bersejarah. Ketika berperang, apabila pejuang tanah air mulai kehabisan bekalan senjata api, dan musuh semakin menghampiri untuk menyerang pejuang habis-habisan, pejuang tanah melayu akan bertakbir. Dengan nada yang sayu, nama Allah disebutkan berkali kali sebagai tanda, semua perajurit mengetahui bahawa mereka akan bertempur habis- habisan sehingga ke hujung titisan darah terakhir. Tiada jalan untuk Kembali, dan mereka akan berniat untuk menentang musuh kerana Allah Taala. 

Sinonim juga dengan makanan yang dihidangkan di Hari Raya Aidilfitri. Tok Ki pernah bercerita, ketupat, lemang dan dodol pernah dikenali sebagai makanan yang dijamukan sewaktu peperangan berlaku. Rendang Tok, Serunding dan Kuh Kering terkenal dengan ketahanannya dan sering dibawa untuk merantau dan susah cepat rosak. 

Cara yang diamalkan dahulu dikampung-kampung juga berbeza dengan zaman sekarang. Zaman sekarang diraikan dengan lebih mudah. Perarakan Malam Hari Raya pada zaman dahulu dimulakan dengan bunyi kompang Arak-Arakan. Kemudian disambung dengan dengan bunyi Gendang Perang sambal membawa obor dan alat kebesaran Sultan, Raja Melayu, atau orang besar 4 yang mewakili pemerintah setempat. 

Mereka yang mengikuti dengan suka rela masuk dalam perarakan tanda menyokong taat setia pada pemerintah setempat. Obor digunakan untuk mengingati zaman dahulu kerana zaman dahulu tiada lampu kuasa bateri. Obor dinyalakan dengan menggunakan gobek api. Api juga dianggap keperluan penting apabila dalam kegelapan semasa daurat atau huru-hara. Takbir dilaungkan semasa perarakan tersebut. Perarakan akan diketuai oleh Penghulu Pawai, Pawai iaitu pemegang alat kebesaran dan kelengkapan istana jika tiada wakil istana yang lain hadir.

Perarakan ini masih ada diamalkan secara serdehana disesetengah Kawasan kampung walau ia dianggap telah pupus. Gendang Perang, Gobek Api, jawatan Pawai, penghulu Pawai juga dianggap telah pupus. Takbir Hari Raya pada zaman dahulu , selepas habis solat di masjid akan disambung pada setiap rumah tokoh pahlawan, penghulu, jiran-jiran dan orang yang dimuliakan. Cara ni masih ada diamalkan disesetengah kampung. Takbir Hari Raya juga simbolik berperang dengan hawa nafsu.

Selepas habis solat hari raya di masjid, mereka akan menyambung permainan meriam buluh di kawasan perkampungan pada suatu ketika dahulu. Cara permainan Meriam buluh ketika itu menggunakan peluru. Peluru itu hanya sekadar jenis mainan yang dibuat dari tempurung bulat kering yang diwarnakan atau menggunakan bola buatan. Dalam permainan ini, setelah Meriam diletupkan, peluru yang paling jauh dikira pemenang. Secara tidak langsung melatih pemain Meriam berfikir bagaimana membina Meriam yang bagus. (Sumber : Pertubuhan Jaringan Cakna Warisan Nusantara Negeri Kelantan - PENJANA dan Persatuan Penggiat Seni Alam Melayu Pernilam)

Iqamat dilaungkan, memecahkan lamunan. Aku Kembali merapatkan saf dengan air mata mengenangkan nyawa-nyawa yang terkorban demi anak bangsa. Al-Fatihah.

Comments

Popular Posts