Adab Semakin Menipis di Zaman Segalanya Cepat

 

Kadang-kadang aku rasa dunia ini terlalu laju. Laju sampai kita tak sempat fikir sebelum bercakap. Laju sampai kita hilang sabar bila mesej kita tak dibalas dalam masa lima minit. Laju sampai kita lebih cepat menegur kesalahan orang daripada menilai adab sendiri. Dan dalam kelajuan itu  tanpa kita sedar, adab yang selama ini jadi asas hubungan sesama manusia, makin hari makin menipis.

Aku pernah alami situasi di mana seseorang menghantar pesanan kepada pensyarah, tanpa “Assalamualaikum”, tanpa “maaf mengganggu”, tanpa “terima kasih”. Cuma satu ayat ringkas: “Bila boleh hantar?” Tiada nama, tiada pengenalan diri, seolah-olah penerima itu mesin, bukan manusia. Mungkin bagi sesetengah orang, ini perkara kecil. Tapi bagi aku, di situlah kita nampak satu kehilangan yang besar : Tatasusila. Adab. Hormat.

Kita hidup dalam zaman yang memuja pantas. Mesej perlu dibalas segera. Respon perlu diberi sepantas mungkin. Semua nak cepat. Tapi dalam semua itu, kita lupa bahawa manusia bukan robot. Dan hubungan yang terbina antara manusia bukan semata-mata berdasarkan maklumat, tetapi juga emosi dan rasa hormat. Bila semuanya jadi ringkas dan tergesa, kita hilang ruang untuk bertanya khabar, untuk beri salam, untuk ucap “terima kasih” dengan ikhlas.

Di media sosial pula, budaya komen semakin ganas. Satu kesilapan kecil, dihukum beramai-ramai. Tiada lagi ruang untuk menegur dengan berhemah, tiada lagi adab menasihati dengan lembut. Semuanya mahu dilontarkan dengan laju. Terkadang tanpa fakta, lebih sering tanpa empati. Kononnya atas nama “jujur”, padahal itu hanyalah lesen untuk berkata apa sahaja tanpa menimbang rasa. Kita mungkin menang dalam hujah, tapi kita kalah sebagai manusia.

Dan ya, aku juga pernah jadi sebahagian daripada itu. Pernah menghantar mesej tergesa tanpa salam. Pernah menegur kasar di ruang komen. Pernah rasa marah bila seseorang lambat membalas mesej, sedangkan aku sendiri tidak tahu apa yang sedang mereka lalui ketika itu. Dalam kejaran hidup, kita jadi orang yang cepat menjatuh hukum, tapi lambat memberi ruang. Kita mahu difahami, tapi kita malas untuk memahami.

Ummi selalu pesan, “Adab itu bukan hanya untuk orang tua-tua, tapi untuk semua orang. Sebab itu tanda kita ada hati.” Lama-lama, aku mula faham. Bahawa setiap kali kita memberi salam, menulis mesej dengan sopan, menegur dengan adab, kita bukan sedang jadi lemah, Kita sedang mengekalkan nilai manusiawi yang perlahan-lahan sedang terhakis.

Dunia akan terus laju. Teknologi akan terus mendesak kita untuk ringkas, cepat, efisien. Tapi biarlah dalam kelajuan itu, kita tetap ada ruang untuk menyebut “maaf”, untuk ucap “terima kasih”, untuk tulis “semoga urusan awak dipermudahkan”. Itu kecil, tapi itu perisai kita daripada jadi manusia yang hanya hidup, tapi tidak memanusiakan orang lain.

Kerana kelajuan bukan alasan untuk hilang adab. Dan diam bukan alasan untuk hilang hormat.

Renungan buat aku dan pembaca.

Comments

Popular Posts