Bila Penulisan Dijadikan Kandungan, Bukan Luahan
Ruangan sosial media aku kini dipenuhi dengan himpunan puisi dan syair yang tidak ternama. Cantik, puitis dan tersusun. Tetapi semakin aku baca dan teliti, kurangnya jiwa di celah bait kata ayat yang ditulis. Reaksinya beribu. Tapi entah kenapa, hati aku rasa kosong. Bukan sebab tulisannya tak cantik. Tapi sebab aku mula tertanya-tanya: ini benar-benar luahan... atau hanya kandungan?
Kita hidup dalam zaman di mana menulis tidak lagi sekadar mencurah rasa. Ia kini jadi mata wang perhatian. Kita belajar teknik engagement, susunan ayat yang “menyentuh”, punchline yang kuat di akhir perenggan. Kita tahu apa yang viral, apa yang “relatable”, apa yang buat orang komen “this hit different”. Dan perlahan-lahan, penulisan berubah. Bukan lagi dari dalam, tapi dari luar. Bukan dari hati, tapi dari statistik.
Aku tak menolak langsung penulisan yang cantik atau strategi berkongsi di media sosial. Malah, aku juga pernah menulis dan berharap ia sampai kepada ramai. Tapi ada beza antara menulis untuk berkongsi sesuatu yang jujur, dengan menulis hanya untuk memastikan ia cukup ‘menjual’. Bila setiap tulisan diukur dengan like dan simpanan, kita mula hilang keberanian untuk jujur. Kita pilih ayat yang enak dibaca, bukan yang benar kita rasa.
Akhirnya, penulisan jadi persembahan. Bukan perasaan.
Kita cerita tentang kesedihan, tapi bukan yang benar-benar menyakitkan. Kita tulis tentang kekuatan, tapi hanya dari sisi yang indah. Kita mula tapis emosi ; bukan demi kesihatan mental, tapi demi estetik. Dan dari luar, semuanya kelihatan penuh rasa. Tapi bila dibaca dari hati ke hati, ia terasa seperti kulit tanpa isi.
Aku pernah duduk depan laptop, menulis satu puisi yang aku rasa sangat menyentuh. Tapi lepas aku tekan ‘post’, aku sedar aku tak pun benar-benar menangis semasa menulisnya. Aku hanya fikir, “Orang suka puisi begini.” Dan saat itu, aku dah terjebak dalam tulis untuk kandungan, bukan untuk kelegaan.
Penulisan, bagi aku, sepatutnya jadi ruang selamat. Tempat kita simpan suara yang tak sempat disebut. Tempat kita menangis dalam diam. Tempat kita temui makna pada apa yang berselerak. Tapi bila ia mula dikomersialkan secara emosi, ia jadi keras. Kita mula rasa penat untuk “terus menyentuh”, sedangkan yang paling kita perlukan adalah disentuh.
Aku bukan mahu menilai sesiapa. Kita semua ada sebab untuk menulis. Tapi kalau setiap ayat hanya dibina untuk dikagumi, kita akan hilang hakikat mengapa kita mula menulis. Kita akan lupa rasa tenang yang hadir bila kita menulis bukan untuk sesiapa, tapi untuk diri sendiri.
Tulis dengan jujur. Biar pun tak sempurna. Biar tak ada yang puji. Kerana penulisan yang benar-benar datang dari hati, tak perlu dimanipulasi untuk menyentuh. Ia akan sampai ; perlahan, senyap, dan benar.
Renungan buat aku dan pembaca.
Comments
Post a Comment