Bila Puisi Hanya Dibaca, Bukan Dihayati
Aku pernah duduk di satu sudut perpustakaan fakulti, membelek buku dari pemenang Sayembara Puisi Kata-Pilar 2.0, karya dari Syafiq Ghazali yang bertajuk 'Hari Terakhir di Tubuhmu'. Di dalamnya, rangkai kata yang indah, tersusun penuh erti. Namun entah kenapa, hatiku kosong. Bukan kerana puisinya hambar, tapi kerana aku hanya membaca, tidak benar-benar merasa.
Dalam dunia yang bergerak pantas, puisi semakin kerap dijadikan bahan tontonan ringkas. Beberapa bait dipetik, dijadikan status, atau diselitkan dalam kapsyen gambar kopi dan langit mendung. Ia nampak cantik, estetik, tapi kosong dari jiwa. Aku sendiri tidak terkecuali. Pernah juga berkongsi baris puisi hanya kerana bunyinya indah, bukan kerana aku mengerti luka yang disembunyikan di sebalik metafora itu.
Dulu, puisi dibaca perlahan, disulami rasa. Setiap bait menjadi cermin ; bukan sekadar kepada penyair, tetapi kepada pembaca. Kita duduk dan biarkan puisi berbicara perlahan, mengusiksesuatu di dada yang kita sendiri tidak tahu ada. Tapi kini, kita mahu puisi yang cepat difahami, yang mudah dikutip untuk ‘content’, yang boleh ditayangkan tetapi tidak semestinya dihayati.
Aku teringat kelas 'Literature' yang pernah aku ambik di Asasi. Pensyarah membacakan puisi Usman Awang yang bertajuk 'Kekasih'. Suaranya perlahan, hampir berbisik, tapi matanya berkaca. “Kita bukan hanya membaca puisi, kita menyelami jiwa manusia,” katanya. Saat itu aku diam. Itulah pertama kali aku benar-benar faham, bahawa puisi bukan sekadar susunan kata, tapi hela nafas seseorang yang pernah mencintai, kehilangan, melawan, dan menyerah dalam senyap.
Sayangnya hari ini, kita terlalu mudah menyebut “puisi itu puitis”, tanpa pernah benarkan diri kita duduk sebentar dan bertanya, “Apa yang sebenarnya ingin disampaikan?” Kita sambut puisi seperti sambut surat yang tidak pernah kita baca isinya. Hanya melihat sampul dan mengaguminya dari luar.
Kerana itu jugalah, kadangkala puisi tidak lagi menyentuh. Bukan kerana ia kehilangan nilai, tapi kerana kita sendiri tidak lagi punya ruang dalam hati untuk merasakannya. Kita terlalu bising, terlalu tergesa, terlalu sibuk mencari kata-kata yang indah untuk dipamerkan, tapi tidak tinggal dalam jiwa.
Aku menulis ini bukan untuk menyalahkan sesiapa. Aku cuma rindu masa di mana kita membaca puisi dengan perlahan, dengan dada yang terbuka, bukan dengan jari yang laju menaip. Aku rindu masa di mana puisi menghidupkan perasaan yang kita sendiri tidak pandai luah, bukan hanya menjadi ayat perhiasan di helaian terakhir majalah kampus.
Mungkin sudah tiba masa untuk kita kembali. Bukan kepada bait, tetapi kepada makna. Membaca bukan dengan mata, tapi dengan hati. Kerana puisi tidak pernah meminta untuk disanjung. Ia cuma mahu difahami.
Renungan buat aku dan pembaca.
Comments
Post a Comment