Budaya Melayu yang Perlu Dinormalisasikan Semula

 Dalam diam, aku rindu satu versi masyarakat Melayu yang tidak malu dengan akar budayanya. Yang tidak segan berpakaian tradisional di tempat awam. Yang menggunakan bahasa yang lembut dan sopan walau dengan orang asing. Yang meraikan seni — bukan sekadar untuk persembahan, tapi sebagai nadi yang hidup dalam jiwa harian.

Bukan aku mahu memaksa semua orang kembali ke masa lalu. Tapi aku percaya ada beberapa perkara dalam budaya Melayu yang sepatutnya tidak perlu dianggap asing di tanah sendiri.

1. Baju Kurung dan Baju Melayu di Mana-Mana

Aku masih ingat betapa selesanya aku berjalan di pusat beli-belah memakai baju kurung, dan hanya menerima satu dua pandangan yang pelik. Bukan kerana aku berpakaian pelik, tapi kerana budaya hari ini menjadikan sesuatu yang tradisional kelihatan janggal. Di kampung, baju kurung dan baju Melayu dipakai ke pasar dan surau. Tapi di bandar, ia hanya dipakai pada hari Jumaat atau ketika majlis rasmi.

Kenapa? Bukankah ia sebahagian daripada identiti kita? Potongannya sopan, selesanya terletak pada tubuh, dan keanggunannya tak pernah kalah dengan fesyen luar negara. Aku membayangkan satu hari nanti, orang kita boleh memakai baju Melayu ke universiti, ke kedai buku, ke kafe ; tanpa rasa “overdressed”. Biar ia jadi pakaian harian, bukan kostum tahunan.

2. Penggunaan “Saudara” dan “Saudari”

Dalam Bahasa Melayu, kita ada panggilan yang sangat indah: saudara dan saudari. Kata yang membawa maksud “hubungan”, tanpa mengira umur atau status. Tapi hari ini, kita terlalu biasa memanggil orang asing sebagai “kak”, “abang”, “adik” ; walaupun kita langsung tak tahu nama mereka. Panggilan ini bukan salah. Tapi kadang-kadang, ia membawa andaian yang tidak perlu.

“Saudari, boleh saya bantu?”. Ayat ini berbunyi lembut, hormat, dan profesional. Tapi kita jarang gunakannya. Mungkin kerana ia kedengaran terlalu formal dalam dunia yang terlalu santai. Tapi alangkah indahnya jika kita mula biasakan semula. Supaya budaya bahasa kita tidak hanya indah di kertas rasmi, tapi juga dalam perbualan seharian.

3. Martabatkan Seni Gamelan, Tarian dan Muzik Tradisional

Aku terfikir, mengapa gamelan hanya dipersembahkan semasa perasmian majlis, bukan di siaran utama televisyen atau radio? Mengapa tarian zapin hanya ditonton ketika hari kebudayaan sekolah, bukan di pentas-pentas besar seni negara? Bila kita sebut “muzik Melayu”, kenapa hanya lagu cinta pop yang muncul di fikiran?

Seni tradisi kita bukan barang pameran. Ia hidup. Ia punya denyut yang boleh berdamping dengan generasi hari ini, jika diberi ruang. Gamelan bukan hanya untuk persembahan istana. Ia boleh diangkat sebagai muzik terapi, muzik latar filem, atau bahkan dikolaborasikan dengan irama kontemporari. Tapi untuk semua itu berlaku, kita perlu berhenti lihat seni kita sebagai “kuno”. Kita perlu berhenti malu untuk menyukai apa yang datang dari tanah sendiri.


Mungkin kita terlalu terbiasa memuja luar, hingga yang asal dari dalam sendiri kita anggap ‘tak cukup maju’. Tapi kemajuan tidak bermaksud menanggalkan budaya. Ia bermaksud memeluknya dengan cara yang lebih segar, lebih berani.

Budaya Melayu itu indah. Tapi keindahan itu takkan hidup kalau kita sendiri tak berani pakai, tak berani cakap, tak berani mainkan dan angkatkannya ke tempat yang selayaknya.

Sudah tiba masanya kita tidak hanya ‘bangga’ dengan budaya Melayu dalam ucapan atau Instagram, tapi dalam cara hidup kita setiap hari.

Biar yang datang dari dalam ini tidak hanya diingati ; tapi dinormalisasikan.

Renungan buat aku dan pembaca.

Comments

Popular Posts