Bukan Aku, Tapi Algoritma
Aku memandang telefon yang aku sendiri tidak tahu sudah berapa kali aku buka sejak tadi. Leret ke atas, berhenti, double tap. Leret lagi. Ada TikTok tentang seorang pelajar kongsi tips belajar. Dua saat kemudian, seorang influencer kongsi jadual diet. Tiga saat kemudian, seorang pelajar UM yang sedang tunjukkan bilik hostel yang kemas, penuh estetik. Semua tampak sempurna. Semua tampak tahu apa yang mereka buat dalam hidup.
Sedang aku masih mencari tujuan untuk bangun pagi.
Sebagai pelajar universiti yang sedang merangkak ke arah umur dua puluhan yang kabur. Tapi kadangkala, aku rasa hidup aku lebih ditentukan oleh algoritma daripada kehendak sendiri. Apa yang aku rasa cantik, apa yang aku anggap berjaya, apa yang aku percaya tentang dunia—semuanya seperti telah dihidangkan satu demi satu dalam suapan tak berpenghujung. Aku fikir aku sedang buat pilihan, tapi sebenarnya aku hanya mengikut.
Sebelum ini, bila aku dapat markah rendah, aku hanya diam dan cuba baiki. Tapi kini, bila lihat orang lain kongsi keputusan mereka dengan kata-kata sebagai motivasi dan gambar gred penuh warna, aku mula persoalkan diri sendiri. “Kenapa aku tak sebaik dia?” Aku tahu setiap orang ada masa dan rezeki masing-masing, tapi media sosial tidak menunggu untuk menjatuhkan perbandingan.
Aku jadi cemas bila tak ‘produktif’. Seolah-olah duduk diam dan berehat itu satu dosa besar. Kalau aku tak bangun pukul 5 pagi dan senyum depan cermin sambil minum oat macam dalam reels, aku rasa aku malas. Kalau aku tak cukup cantik, cukup pandai, cukup sistematik, aku rasa gagal. Semua ini bukan datang dari aku, tapi dari beribu ribu cerita sempurna yang muncul dari skrin kecil di tangan ini.
Ummi pernah tanya, “Kenapa sekarang makin ramai muda-mudi cepat rasa gagal?” Aku cuma senyum. Mana mungkin aku jelaskan, bahawa kini kami hidup dalam dunia di mana kejayaan orang lain dihidang setiap saat. Setiap pencapaian ditayang, setiap detik dikejar views, dan setiap kegagalan disorok rapi. Maka kami membandingkan diri dengan kehidupan yang telah ditapis, diedit, diulang siar beratus kali. Terkadang sampai hilang realiti yang ditunjukkan.
Aku pernah cuba untuk ‘log out’ dan hidup sepenuhnya tanpa aplikasi. Tapi dunia hari ini seperti tidak membenarkan itu. Memo mesyuarat, kerja kumpulan, makluman kelas semuanya datang dari satu sumber yang sama. Di antara notifikasi rasmi dan hiburan yang tidak diminta, aku tenggelam.
Media sosial bukanlah musuh, tapi ia cermin yang terlalu terang. Ia membentuk cara kita menilai orang lain, dan lebih parah, cara kita menilai diri sendiri. Ia membuatkan kita fikir semua orang patut ada suara. Tapi kadang-kadang, terlalu banyak suara menjadikan kepala sendiri bising. Kita kehilangan keaslian. Kita tiru cakap orang lain, pakai gaya orang lain, fikir ikut arah orang lain. Bila suara hati cuba bersuara, ia kalah dengan suara trending.
Aku rindu untuk berfikir sendiri.
Bukan berdasarkan apa yang sedang ‘viral’. Bukan ikut statistik tontonan. Bukan berpandukan siapa yang paling diminati pada masa kini. Aku rindu untuk buat keputusan dari hati ;bukan dari algoritma. Aku rindu untuk rasa cukup tanpa perlu buktikan apa-apa di media sosial.
Mungkin, kita semua perlukan satu saat dalam hidup untuk tutup telefon, pandang langit dan tanya diri sendiri. “Ini aku, atau ini apa yang dunia mahu aku jadi?”
Renungan buat aku dan pembaca.
Comments
Post a Comment