Kanak-Kanak Bertopengkan Dewasa
Orang kata, semakin kita tua, semakin matanglah kita. Tapi dunia hari ini membuktikan sebaliknya. Umur tidak selalu datang bersama kebijaksanaan. Ada dewasa yang sudah melewati separuh usia, tapi tindak-tanduknya masih seperti anak-anak. Bukan dari sisi ceria atau jujur, tapi dari sisi ego yang sukar ditegur dan tabiat merendahkan orang lain sewenang-wenangnya.
Aku pernah duduk dalam satu mesyuarat. Isinya serius, berkait amanah dan keputusan penting. Tapi yang lebih tua, bukannya membimbing. Sebaliknya menjatuhkan. Setiap cadangan daripada yang muda ditolak mentah-mentah. Bukan kerana cadangan itu lemah, tapi kerana datang dari mulut orang yang “belum cukup makan garam”. Segalanya dinilai dari umur, bukan isi. Dan aku terfikir, kenapa perlu rasa terancam dengan suara yang baru? Apabila cadangan itu diberikan kepada mereka yang lebih berusia, cadangan itu diterima dengan senang hati walaupun isi dan intipatinya sama.
Ada yang menjadikan usia sebagai lesen untuk tidak ditegur. Bila ditegur, mereka melenting. Bila disanggah, mereka kecil hati. Bila dicadangkan sesuatu, mereka ulang frasa yang sama: "Saya lebih lama hidup dari awak.” Tapi pengalaman bukan alasan untuk berhenti belajar. Dan usia bukan jaminan bahawa kita tak lagi silap.
Lebih menyedihkan, ada dewasa yang bukan sahaja sukar menerima pendapat anak muda, tapi gemar pula meremehkan. Mereka gelarkan idea anak muda sebagai “terlalu idealis”, “tak realistik”, “ikut trend”. Tapi dalam masa yang sama, mereka sendiri tidak pernah mencuba untuk mendengar dengan telinga yang terbuka. Mereka mahu dihormati, tapi enggan menghormati kembali.
Apa yang mereka lupa, kematangan bukan soal angka. Ia soal adab bila bercakap. Soal bagaimana kita mengaku salah. Soal bagaimana kita mendengar sebelum menilai. Aku percaya, menjadi dewasa bukan bermaksud menjadi kebal daripada teguran. Tapi menjadi orang yang lebih banyak diam, lebih banyak fikir, dan lebih berhati-hati bila bersuara.
Malangnya, dunia ini penuh dengan dewasa yang tubuhnya besar, tapi jiwanya kerdil. Yang suka berlawan siapa lebih tahu, bukan siapa lebih jujur. Yang sibuk mengekalkan kedudukan, bukan membina ruang belajar bersama. Dan dalam semua itu, yang paling rugi bukan anak muda tapi mereka sendiri.
Kerana mereka lupa, usia yang panjang tak bererti apa-apa jika hati masih pendek sabarnya, sempit pemikirannya, dan cetek hormatnya.
Kita selalu ingatkan anak-anak untuk hormat orang dewasa. Tapi jarang kita ingatkan orang dewasa untuk hormat anak muda. Hormat itu dua hala. Tak mengira siapa lebih lama hidup, tapi siapa lebih tahu menghargai manusia lain, tanpa perlu rendahkan.
Dewasa yang sebenar bukan yang tahu semuanya. Tapi yang tahu bila perlu belajar, dan bila perlu diam.
Renungan buat aku dan pembaca.
Comments
Post a Comment